Wednesday, December 24, 2014

REPUBLIK TAMAN HIJAU

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Selawat dan Salam Buat Junjungan Rasulullah SAW.
http://ustazidrissulaiman.wordpress.com/ mengenai  SYIRIK.
Syirik secara prinsipnya dikategorikan kepada dua bahagian;
  1. Syirik besar: Pelakunya terkeluar daripada Islam, kekal dalam Neraka jika tidak bertaubat (Baca bhg. 1 untuk melihat bentuk-bentuknya).
  2. Syirik kecil: Secara prinsipnya tidak menyebabkan pelakunya terkeluar dari Islam, tetapi boleh membawa kepada Syirik besar.

Syirik kecil terbahagi kepada dua jenis;
1. Syirik kecil yang zahir. Ia boleh terjadi dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan.
Contoh syirik kecil yang dilakukan melalui perkataan, di mana kata-katanya itu syirik, tetapi tidak semestinya mengeluarkan pelakunya dari Islam. Ia banyak berlaku dalam masyarakat kita. Contohnya dalam sebuah hadis,
عن ابن عباس رضي الله عنهما أن رجلاً قال للنبي صلى الله عليه وسلم: ما شاء الله وشئت، فقال: ((أجعلتني لله نداً؟ ما شاء الله وحده))
Daripada Ibn Abbas radhiyallahu ‘anhuma bahawa seorang sahabat berkata kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, “Apa yang Allah kehendaki dan engkau kehendaki.” Maka Nabi berkata, “Adakah engkau jadikan aku tandingan Allah? (Katakanlah) Apa yang Allah kehendaki sahaja”. (Sahih. Riwayat Ahmad, Al-Bukhari dalam Adab Al-Mufrad, Al-Nasai dalam Sunan Al-Kubra)
Kata-kata itu syirik, “Apa yang Allah kehendaki dan engkau kehendaki”. Seolah-olah dia mengatakan Rasulullah ada kuasa dalam mentadbir, sedangkan bukan itu yang dimaksudkan. Tetapi kata-kata itu membawa unsur syirik. Oleh kerana itu Rasulullah memarahi dan membetulkan.
Perkataan-perkataan syirik yang biasa di lihat di kalangan masyarakat kita, contoh: “Demi bangsa, negara, dan agama”, “Untuk rakyat”. “Saya bekerja untuk rakyat”.
 Kita beramal untuk siapa? Syarat yang paling penting dalam kita beramal adalah IKHLAS. Demi siapa kita beramal? Kita beramal untuk Allah.
Saya angkat satu kotoran di atas jalan, saya angkat sampah, saya melakukan kerana Allah, baru dapat pahala. Tetapi kalau saya angkat sampah semata-mata kerana “demi engkau wahai kekasihku”, kata-kata itu syirik. Ini yang dimaksudkan syirik kecil.
Contoh syirik kecil dalam bentuk perbuatan; memakai gelang/tangkal. Macam baru-baru ini di Lahad Datu, semua penyamun-penyamun pengganas-pengganas penuh tangkal di badan mereka kerana hendak kebal. Ini syirik dari segi perbuatan. Tidak semestinya jatuh syirik (keluar dari Islam) tetapi ia adalah pintu kepada syirik yang besar (Syirik Akbar).
Sekiranya kata-kata atau perbuatan itu dituruti dengan kepercayaan , maka pelakunya jatuh syirik (syirik besar yang pelakunya keluar dari Islam kerana meletakkan kepercayaan dan pergantungan kepada selain Allah –pen.)
Contohnya kadang-kadang masyarakat kita menampal ayat Kursi dalam kereta, atas pintu rumah diletak Qul huwallahu ahad, di kedai-kedai, restoran-restoran, digantung nombor-nombor tertentu, dia meletak, menampal itu adalah syirik kecil dalam bentuk perbuatan.
Tetapi kalau dia sudah percaya ada kuasa pada sticker itu, pada nombor itu (dapat menghalang mudarat atau mendatangkan manfaat) maka dia jatuh syirik.
Perbuatan itu syirik kecil, tidak semestinya keluar dari Islam, tetapi kalau sudah ada kepercayaan maka jatuh syirik (besar).
2. Syirik kecil yang tersembunyi (Syirik Khafi).
Ia lebih kepada niat/keinginan. Niat yang dimaksudkan adalah riyak (mahu dilihat oleh manusia) atau sum’ah (mahu orang mendengar tentangnya iaitu ingin jadi terkenal/popular).
Dia membuat sesuatu kerana riyak, ini dikategorikan sebagai syirik kecil yang tersembunyi. Tidak semestinya keluar daripada Islam.
Tetapi kalau sudah tidak ada ikhlas, dia buat sesuatu semata-mata kerana selain Allah, misalnya dia solat kerana riyak semata-mata, tidak ada ikhlas (kerana Allah) sama sekali, ini memang sudah jatuh dalam Syirik besar.
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
(Disalin dari rakaman Forum Bomoh, Sihir & Tangkal, 28/04/2013)
 Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, pasti kami termasuk orang-orang yang rugi. (Surah Al-A’raf: 23)
2. Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung denganMu untuk memohon kepadaMu sesuatu yang aku tidak memiliki ilmu tentangnya. Dan sekiranya Engkau tidak mengampuniku dan menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang-orang yang rugi. (Surah Hud: 47)

 Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung. (Surah Al-Taubah: 129)
 Wahai Tuhanku, binakanlah untukku di sisiMu sebuah rumah di Syurga. (Surah Al-Tahrim: 11)


SEBARKAN SENYUM SEBARKAN SALAM
CINTA ALLAH CINTA RASULULLAH.

3 comments:

Kakzakie Purvit said...

Syirik ni kalau tak berhati-hati memang menjadi perkara biasa seperti contohnya kita kata "syukurlah dah sembuh berkat makan ubat itu" sedangkan yg menyembuhkan adalah Allah. Ini syirik kecil. Kalau yg bertangkal/berbomoh itu kategori syirik besar - nauzubillah..

Apa pun kakak geram tengok buah pamela Kak Ju yg cantik kulitnya. Tak bungkus pun ok juga ye:)

Kakzakie Purvit said...

Pamelo bukan pamela hihi...
Typing error

makcikkantin said...

mck baru 'cucuk' batang mulberi dlm pasu...harap2 kerja 'sitanganpanas' ni membuahkan hasil ")