Saturday, September 21, 2013

TULISAN PROF KAMIL DI KOSMO

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Petikan daripada akhbar KOSMO.

Ketenangan hidup di Kota Nabi.
MAKAM Rasulullah SAW di Masjid Nabawi menjadi lokasi yang sering dilawati jemaah haji dan umrah.


SALAM dari Madinah al-Munawarrah. Hampir tiga tahun kami sekeluarga bermukim di sini. Ia nikmat Allah SWT yang tidak terduga untuk berada hampir dengan salah satu masjid yang disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat.
Rasulullah SAW pernah bersabda: "Tidak disyariatkan mengadakan perjalanan (untuk tujuan beribadat) kecuali kepada tiga masjid: Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa." (Hadis riwayat Imam Tirmizi).
Peluang berada di Madinah ini dianugerah Allah melalui tawaran berkhidmat sebagai Profesor Perakaunan di Universiti Taibah, Madinah. Tentu sekali saya tidak pernah menduga untuk berkhidmat di universiti ini setelah hampir 24 tahun bertugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ia kehidupan yang sangat berbeza. Pertama, di hadapan saya terdiri daripada anak-anak muda berketurunan Arab yang 100 peratus merupakan rakyat Arab Saudi. Kesemuanya lelaki. Pelajar wanita diasingkan di bangunan mereka sendiri.
Pensyarah lelaki dibenarkan memberi kuliah kepada pelajar wanita tetapi hanya menggunakan kaedah telesidang. Ia adalah kemudahan video yang memaparkan wajah pensyarah dan persembahan nota atau catatan yang saya lakukan ketika memberi penerangan tambahan.
Mereka boleh melihat wajah pensyarah dan tidak sebaliknya. Namun demikian, kami masih boleh berinteraksi secara langsung tanpa mengetahui bahasa tubuh pelajar.
Masya Allah .... Subhanallah ... Allahu Akbar. Hubungan fizikal saya dengan siswi-siswi ini hanyalah melalui pembantu pensyarah wanita yang menguruskan soal kedatangan pelajar, ujian dan peperiksaan serta mengendalikan tutorial.
Saya teruja dan menghargai pengalaman berbeza ini. Ia merupakan satu tugas mudah tanpa perlu memikirkan sama ada mereka mengantuk atau tidak, sibuk melayan mesej pesanan ringkas atau bergurau senda sesama sendiri.
Kedua, tingkah laku pelajar-pelajar siswa sangat berbeza berbanding dengan pelajar-pelajar saya semasa berada di UiTM. Mereka sangat aktif. Jika berbincang sesama mereka seolah-olah sedang berlaku peperangan besar.
Mereka sangat berterus-terang sehingga ada masanya melangkaui logik akal. Saya ketawa apabila ada yang meminta markah 100 atau 90 peratus walaupun ada soalan yang tidak berjawab.

MASJID Nabawi menjadi salah satu lambang syiar Islam yang terkenal di seluruh dunia.


Sebagai pensyarah, saya juga belajar untuk tidak perlu berlapik-lapik dalam menyampaikan sesuatu. Itulah sedikit kisah saya, universiti dan siswa-siswi yang membolehkan saya berada di Madinah.
Rutin harian
Namun, hati kami sangat damai kerana hampir setiap hari dibenarkan berada di Masjid Nabawi (Haram).
Rutin saya sangat mudah. Pagi-pagi lagi saya sudah berada di Haram untuk menunaikan solat subuh. Kemudian beredar ke pejabat untuk menyampaikan kuliah yang kebiasaannya berakhir sebelum pukul 12 tengah hari. Setiap pensyarah hanya perlu mengajar lebih kurang enam jam seminggu.
Saya memastikan agar dapat menunaikan solat zuhur di Haram ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Kemudian, seisi keluarga akan berada di Masjid Nabawi sebelum solat asar sehingga berakhirnya solat isyak.
Selepas solat asar, anak-anak saya akan mempelajari dan menghafal al-Quran yang dikendalikan oleh pihak pengurusan Masjid Nabawi.
Kami juga menghadiri kelas-kelas yang sama pada sebelah malam selepas solat maghrib bersama sheikh atau abla (guru) yang bertugas sepenuh masa. Hakikatnya, hampir 25 peratus masa dihabiskan dalam Masjid Nabawi. Ia berlalu tanpa kami sedari.
Hampir setiap hari juga saya menyampaikan tazkirah, kuliah atau ceramah kepada jemaah haji dan umrah yang melaksanakan ibadat ziarah di sini. Jemputan ini kebiasaannya dipanjangkan oleh petugas-petugas Lembaga Tabung Haji, pengendali pakej umrah dan individu yang mengetahui kewujudan saya di Madinah.
Jemputan menyampaikan tazkirah ini sangat mudah. Pertama, saya mengenakan syarat yang perlu dipatuhi penganjur iaitu tidak melibatkan sebarang bayaran atau memberi upah kepada saya. Tazkirah ini percuma dan dilakukan semata-mata kerana Allah.
Kedua, mereka yang mendengar ceramah ini juga tidak boleh dikenakan sebarang bayaran. Hanya kelapangan masa yang menentukan sama ada permohonan berceramah ini dapat saya patuhi ataupun tidak. Sungguh, saya terasa damai di hati.

UNIVERSITI Taibah di Madinah tempat Muhd. Kamil berkhidmat sebagai pensyarah perakaunan.


Kemudahan umrah
Allah sentiasa memberi pelbagai peluang kepada hamba-hambanya. Ia berbeza-beza mengikut individu. Pada ketika ini, peluang berada di Madinah turut dipakejkan dengan kemudahan untuk menunaikan umrah. Kami tidak memerlukan visa umrah. Malah ia boleh dilakukan sepanjang masa kecuali pada musim haji. Itu pun untuk beberapa hari sahaja.
Peluang yang diberikan tidak akan menjadi milik sendiri jika ia dibiarkan berlalu tanpa diambil tindakan. Anugerah berada di Madinah pastinya akan berakhir.
Lalu kami memastikan agar berada di Mekah (Masjidil Haram) secara purata dua kali sebulan. Perjalanan hampir 900 kilometer ulang-alik Madinah dan Mekah adalah singkat berbanding dengan perjalanan lebih 7,000 kilometer dari Kuala Lumpur ke Mekah.
Benar, kami terasa damai kerana mampu berada di dua Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. InsyaAllah, jika kami pulang ke Malaysia dan menoleh ke belakang, pengalaman berada di sini akan terpahat dengan rasa puas yang tidak terhingga.
Hakikatnya, kita mempunyai pelbagai peluang yang perlu direbut. Allah memberi kita kesihatan, maka rebutlah peluang untuk solat berjemaah di masjid tidak kira sama ada kita berada di Mekah, Madinah atau Malaysia. Malah pada usia muda hendaklah diperbanyakkan amal ibadat lain seperti bangun malam, bertahajud dan bermunajat agar kita tidak akan menyesali dengan tempoh perjalanan kehidupan terdahulu.
Terima kasih Kosmo! kerana memberi peluang untuk saya berinteraksi dengan khalayak pembaca. Sambutlah salam perkenalan daripada saya di Madinah. Jumpa lagi pada minggu hadapan. Kami mohon keampunanMu Ya Allah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0920&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm#ixzz2fXMUDIii 
Hakcipta terpelihara 

2 comments:

Hjh Noralenna Abbas said...

Terima kasih, Ju

Dr Singa said...

menarik..
baru tau macamana pembelajaran kat sana macamana..

header cantik!!